Pendidikan Pra-sekolah merupakan sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan yang tertakluk di bawah Akta Pendidikan, 1996. Matlamat utama pendidikan pra-sekolah ialah untuk memberi asas yang kukuh kepada pendidikan formal. Pendidikan pra-sekolah dikendalikan oleh agensi dan bukan agensi kerajaan serta institusi swasta. Agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan pra-sekolah ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Perpaduan Negara. Kanak-kanak yang berumur di antara 4 - 6 tahun boleh mengikuti pendidikan pra-sekolah. 

Kurikulum pendidikan pra-sekolah tertakluk kepada garis panduan Kementerian Pendidikan dan kurikulum tersebut membolehkan kanak-kanak memperolehi kemahiran asas berkomunikasi, bersosial dan kemahiran positif yang lain sebagai persediaan ke sekolah rendah.